Thursday, February 03, 2011

3 Watak Perosak Agama, Masyarakat dan Negara


Watak pertama ialah manusia bermulut manis di bibir tetapi hati penuh racun berbisa. Manusia jenis ini sangat pandai berkata-kata dan mempunyai daya tarikan mempesonakan ramai orang.

Dia dianggap baik hati, jujur, sentiasa berbuat kebaikan dan pemikir untuk kepentingan umum tetapi hakikatnya lain di bibir lain di hati.

Watak kedua pula perosak masyarakat, yang tidak rasa malu dan sanggup melakukan apa saja untuk merosakkan masyarakat semata-mata kerana tidak dapat mengawal perasaan dan emosi apabila melihat orang lain mendapat kebaikan.

Antara musibah manusia sebegini adalah lahir kumpulan suka menyalahkan orang lain atau kumpulan lain. Ada sanggup mencaci, menghina, memaki orang lain.
Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda: "Janganlah kamu mencaci maki pemimpin. Doakanlah kebaikan untuk mereka kerana sesungguhnya kebaikan mereka membawa kebaikan kamu juga." (Hadis riwayat at-Thobarani)

Watak ketiga, manusia yang tidak boleh ditegur atau tidak boleh menerima kritikan, tidak bersikap terbuka dan tidak boleh menerima pendapat orang lain serta menghormati perbezaan pendapat. Mereka ini jika diajak membetulkan kesilapan diri, diseru mengikut jalan betul, diajak secara jujur, maka mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak.

Manusia sebegini disebabkan mereka tidak dapat melihat kesalahan diri sendiri atau kumpulan mereka. Mereka selalu berasa benar dan bijak, manakala kesilapan datangnya daripada orang lain.

Lantaran itu manusia seperti ini akan menjadikan sesiapa saja sebagai 'kambing hitam' untuk menutup segala kesalahan dan kelemahan yang ada pada diri mereka.
Kita perlu berfikir dan berwaspada supaya tidak menjadi golongan berkenaan. Masyarakat bertamadun akan mengelakkan diri daripada perbuatan jahat yang boleh memusnahkan agama, masyarakat dan negara.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau jika Ia memberikan rahmat kepada kamu? Dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun, selain Allah, pelindung atau penolong mereka." (Surah al-Ahzab, ayat 17)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...