Sunday, November 06, 2011

Korban 1432

Aidiladha kembali lagi... Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi mama dan abah ikut serta dalam ibadah korban. Tahun ini Surau Al Huda, iaitu surau di taman perumahan mama mengorbankan empat ekor lembu. Selepas kembali dari solat sunat aidiladha, mama dan abah pergi semula ke surau untuk melihat kerja penyembelihan. Sunat bagi kita melihat saat penyembelihan dilakukan terhadap haiwan yang hendak kita korbankan...



Memasang niat..

Nama mama dan abah tersenarai pada lembu yang disembelih ini.


Alhamdulillah... lembu yang pertama

Menunggu sehingga tidak bergerak.

Abah memulakan kerja melapah..

Begini rupanya perut lembu.

Sementara menunggu kesemua lembu disembelih.

Kerja melapah..

Siap penimbang untuk mengagihkan daging lembu.

Masing-masing mencari tugas..

Saja nak posing dengan kepala lembu

Tugas muslimah

Tugas memotong tulang..

Masakan pak haji ni memang sedap.. nak buat sop lembu!!

Hikmah Korban

1. Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
2. Mendidik jiwa kearah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
3. Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta kejalan Allah s.w.t.
4. Menghapuskan dosa dan mengharap keredhaan Allah s.w.t.
5. Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
6. Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim diakhirat kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu dititian pada hari kiamat."


Dalam satu riwayat daripada Aisyah, disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya, dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dahulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi).

Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban), dan bahawa pada hari Kiamat kelak korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang sedikit pun. Dan orang yang melakukan korban itu akan diberi pahala dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.
Baginda Rasulullah s.a.w sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia sering bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak dengan Allah.

Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya. Maka, salah satu caranya adalah dengan berkorban. Oleh yang demikian itu, maka sewajarnya kita menginsafi kembali akan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ”Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami.” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” tanya sahabat. 
‘‘Itulah sunnah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah. 
“Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat itu lagi. 
‘‘Setiap helai bulu haiwan korban itu merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah. 

Seandainya ada sesuatu yang lebih utama daripada penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia di atas segala nikmat, tentunya Allah tidak akan menyebutkan penyembelihan haiwan korban itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: ”Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan ke atas Ismail a.s.” (As-Shaffat: 107)

Menurut Imam Syafie, hukum korban adalah sunat muakkad yang amat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia adalah amalan yang amat dikasihi Allah pada hari nahr (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama yang menyatakan ia adalah wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah yang bermaksud: ”Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu) dan berkorbanlah.” (Al-Kauthar: 2)

Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua orang anak Nabi Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat demi mematuhi perintah Allah s.w.t. dan mendekatkan diri kepada-Nya. Manakala anak yang kedua juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh hal yang demikian itu, korban anak yang pertama diterima di sisi Allah s.w.t, manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu.” (Habil) menjawab: “Hanyalah Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.” (Al-Maidah: 27)

Amalan ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim a.s sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengan-Nya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.” (Al-Shaffat: 102)

Dengan korban tersebut diharapkan agar ketakwaan kita kepada Allah semakin meningkat dan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan dan petunjuk-Nya. Oleh hal yang demikian itu, kunci kepada semua amalan baik sama ada amalan sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ”Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Al-Hajj: 37)





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...