Sunday, January 08, 2012

Tinitus

adakah anda pernah mengalami bunyi aneh dalam telinga anda?


Bayangkan bunyi ini – siulan unggas yang berkicau riang, deruan air terjun, hembusan bayu, ombak pecah berderai, bunyi dari cangkerang siput yang didekatkan ke telinga dan alunan gemerincing. Dalam pada anda menikmati irama alam yang mendamaikan jiwa ini, cuba bayangkan pula jika bunyi-bunyian tersebut datangnya dari dalam kepala anda sendiri, tanpa henti.


Memburukkan keadaan, bunyi-bunyian tersebut tidak mahu pergi dari dalam telinga anda, sentiasa kedengaran 24 jam sehari, termasuklah waktu anda sedang tidur. Bunyi yang didengar juga berbeza-beza di antara seseorang dengan yang lain.

Bunyi-bunyi lain yang lebih menjengkelkan termasuklah berdengung seperti lebah dan nyamuk, nada dering, loceng berdenting, suara mengaum, tiupan wisel, bunyi klik atau bip, pasir berdesir, cas elektrik, kerja-kerja menggerudi, gangguan gelombang radio dan degupan jantung.

Lebih parah lagi, ada juga yang mengalami campuran bunyi-bunyian tersebut sama ada dalam laras nada yang tinggi dan nyaring mahupun rendah dan besar.

Pada mulanya, sukar juga untuk membayangkan bagaimanakah bunyi-bunyian ini boleh mendatangkan gangguan kepada pesakit.

Bagaimana Telinga Berfungsi
Terdapat ribuan sel-sel auditori/pendengaran yang bertugas mengekalkan caj elektrik di dalam telinga. Pada setiap permukaan sel-sel auditori ini ditumbuhi dengan rerambut mikroskopik.
Pergerakan rerambut-rerambut ini bergantung kepada tekanan yang dihasilkan oleh gelombang bunyi. Pergerakan ini menyebabkan sel menyahcas kuasa elektrik melalui saraf- saraf pendengaran. Otak mentafsir isyarat- isyarat ini sebagai bunyi.
Sekiranya rerambut-rerambut halus yang berada di dalam telinga anda rosak, pergerakannya akan menjadi tidak menentu. Akibatnya, sel-sel auditori membocorkan impuls elektrik ke otak sebagai bunyi bising.
Punca-Punca Tinitus
  • Hilang pendengaran atau pekak berkaitan usia, selalunya bermula sekitar usia 60 tahun
  • Kerosakan berkaitan bunyi bising pada telinga dalam. Hakisan terhadap kebolehan untuk mendengar mungkin disebabkan oleh pendedahan melampau kepada bunyi kuat, yang berlanjutan dalam tempoh yang lama.

  • Penggunaan ubat-ubatan tertentu yang terlalu lama. Penggunaan aspirin dalam dos yang besar dan beberapa jenis antibiotik boleh memberikan kesan kepada sel-sel telinga dalaman. Selalunya, bunyi-bunyian yang tidak dikehendaki akan hilang selepas pengambilan ubat-ubatan ini dihentikan.

  • Perubahan atau kekakuan di dalam tulang telinga tengah boleh menjejaskan pendengaran anda.

  • Kecederaan atau trauma pada kepala dan leher juga boleh merosakkan bahagian dalam telinga. Walaupun jarang-jarang berlaku, tinitus juga mungkin menjadi simptom tumor kepala dan leher.

  • Jangkitan telinga atau sinus. Pada umumnya, tinitus akan berkurangan dan lama-kelamaan hilang sebaik jangkitan pulih.

  • Gangguan-gangguan tertentu pada saluran darah boleh menyebabkan tinitus jenis pulsatil yang berkaitan jantung, seperti:
    • Aterosklerosis. Plak-plak berlemak berkembang pada dinding-dinding dalam arteri/pembuluh darah dan akhirnya menyebabkan aliran darah tersekat dan menjadi bertambah kuat sekali gus memudahkan telinga mengesan degupan.
    • Tekanan darah tinggi dan faktor-faktor risikohya seperti stres, alkohol dan kafeina boleh menjadikan bunyi mudah dikesan. Mengalihkan kedudukan kepala anda selalunya mampu melenyapkan bunyi
    • Aliran darah bergolak. Penyempitan arteri karotid atau urat leher boleh menyebabkan aliran darah menjadi bergelora dan menghasilkan bunyi bising dalam kepala.
Rawatan
Tidak terdapat penyelesaian perubatan yang benar-benar berkesan mahupun prosedur pembedahan bagi merawat tinitus. Terapi sedia ada tertumpu kepada cara-cara untuk menguruskannya dengan lebih baik serta mengurangkan keterukan bunyi.


Rawatan tinitus bergantung kepada penyebabnya. Terapi sedia ada tertumpu kepada cara-cara untuk menguruskannya dengan lebih baik serta mengurangkan keterukan bunyi bising.
Sekiranya masalah kesihatan seperti tersumbat tahi telinga atau ubat-ubatan dikenal pasti sebagai puncanya, doktor boleh mengambil langkah-langkah berkaitan bagi mengurangkan bunyi.

Yang penting, individu yang mengalami masalah ini tidak perlu mendiamkannya sahaja sehingga bertahun-tahun lamanya kerana ia sebenarnya boleh dibantu.

Antara kaedah yang popular dan berkesan adalah terapi berasaskan habituasi yang merangkumi gabungan terapi bunyi, kaunseling dan relaksasi.

Tip Pengurusan
  • Elakkan daripada terdedah kepada bunyi kuat dan bising. Pakai pelindung telinga.
  • Kawal tekanan darah. Kurangkan pengambilan garam kerana ia boleh menjejaskan peredaran darah. Bersenam secara tetap bagi melancarkan peredaran darah.
  • Elakkan bahan-bahan yang boleh merangsang tinitus seperti kopi, teh, kola dan tembakau.
  • Menyamar bunyi bising. Dalam persekitaran yang sunyi, kipas, muzik yang lembut, radio bervolum rendah boleh membantu menyamar tinitus. Anda juga boleh memakai masker tinitus iaitu sejenia alat yang mirip alat bantuan dengar yang boleh menghasilkan bunyi menyenangkan. Anda boleh bertanya lanjut mengenainya kepada pakar ENT anda.
  • Jika tinitus disertai dengan hilang pendengaran, alat bantu dengar boleh dipakai bagi membantu menguatkan bunyi luaran lalu menjadikan tinitus kurang ketara.
  • Tekanan boleh memburukkan keadaan. Pengurusan tekanan sama ada dengan terapi relaksasi, bersenam atau meditasi mampu memberikan kelegaan. Rehat secukupnya.
  • Usah risau dengan bunyi bising, elakkan daripada memberi tumpuan terhadapnya. Sebaliknya, latih diri untuk mengabaikannya seboleh mungkin.
Sumber Maklumat: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...