Tuesday, January 11, 2011

Ibu Perihatin

Wanita yang bekerja merangkap isteri dan ibu sering kali berdepan dilema atau terdetik perasaan bersalah apabila tidak dapat sentiasa bersama anak, terutama jika anak dalam tahap pertumbuhan yang memerlukan perhatian lebih.

Meninggalkan anak hanya bersama dengan pengasuh sememangnya ingin dihindarkan tetapi sering kali wanita berkerjaya tiada pilihan kerana pekerjaan di pejabat pun mendesak untuk segera diselesaikan.

Hakikatnya, kesibukan pekerjaan dan keluarga adalah dua hal sering kali membuat wanita berkerjaya sukar membahagikan waktu. Tuntutan di tempat kerja biasanya menjauhkannya dari rumah dengan tugasan mesti dilaksanakan dan sesuatu yang tidak dapat ditunggu sehingga esok sehingga sukar meluangkan waktu untuk keluarga.

Bagaimanapun, usah berasa terlalu tertekan kerana ibu berkerjaya juga masih ada cara tertentu untuk berdamping dengan permata hatinya.

# Luangkan waktu sebelum anak tidur
Jika anda menganggap keluarga keutamaan dalam hidup, pastikan pulang dari tempat kerja sebelum si kecil tidur. Dengan begitu, walau pun sebentar anda tetap dapat menghabiskan waktu untuk berbincang bersama anak. Periksa lagi kelengkapannya untuk sekolah esok hari, pastikan pekerjaan rumah dan tugas lainnya sudah diselesaikan. Cara begitu, anak anda pun mengerti bahawa meskipun ibunya pergi bekerja, tetapi tidak bererti keperluannya diabaikan.

# Hujung minggu pastikan tanpa pengasuh
Hujung minggu adalah saat yang tepat untuk menyegarkan fikiran dengan berjalan-jalan bersama dengan keluarga. Paling penting sebenarnya adalah perhatian, meskipun hanya beristirahat di rumah, pastikan anda memiliki waktu yang berkualiti berdua dengan anak. Bagi wanita bekerjaya yang jadual kerjanya tidak cuti pada hari hujung minggu, lakukan perkara sama walaupun harinya berbeza.

# Dahulukan keutamaan
Jangan bawa pekerjaan di pejabat ke rumah. Di rumah, anda adalah milik suami dan anak-anak. Saat itu menikmati waktu berharga bersama keluarga tercinta.

# Komunikasi
Meskipun hanya sebentar, komunikasi adalah kunci utama. Sesibuk sekalipun bekerja, jangan lupa menghubungi anak di rumah dan pantau terus setiap kegiatannya. Jangan sampai anda tidak tahu apa saja yang dilakukan di rumah mahupun di tempat kegiatan lain kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan.

# Ambil cuti atau berhenti jika tiada pilihan
Memiliki anak adalah komitmen. Meskipun akan menjadi dilema, usahakan fokus mengambil berat mengenai anak khususnya pada kesihatan anak jika sedang sakit. Seboleh-bolehnya, anda sendiri yang membawa anak berjumpa doktor jika sakit. Berbuat demikian membolehkan anda akan mendapatkan maklumat yang lebih tepat mengenai penyakit yang dihidapi anak dan bukan mendengarnya melalui orang lain. Tindakan yang anda boleh buat ialah mengambil cuti ataupun berhenti sementara jika keadaan terlalu mendesak.


Bahagiakanlah Ibu Bapa

Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia.

Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk meterial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.

1. Memberi nafkah
Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat. Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa.  Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

2. Menyediakan tempat tinggal
Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.
Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

3. Memberi kasih sayang 
Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya. Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat. Firman Allah bermaksud:  

Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).

4. Memberi perhatian 
Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa. Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu bapa sendiri. Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.

5. Memenuhi permintaan 
Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa. Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. 

Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya. Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: 
Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah??
Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.

6. Melakukan apa yang disukai
Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak disukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: 
Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: 
Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.

7. Bercakap dengan lemah lembut 
Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: 
Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

8. Menghadiahkan kejayaan
Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

9. Meluangkan masa bersama-sama 
Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa 
Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: 
Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya. Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.

Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu. Tetapi jika kita cuba jadi sahabat sepertinya, mungkin kita akan tahu.


Kongsilah Perasaan

Perasaan kita boleh berubah-ubah. Anda mungkin merasa gembira, putus harapan, sedih, marah dan kecewa. Bila perasaan tidak dapat dikawal, ia akan menjadi masalah. Anda perlu menangani masalah tersebut dengan berkesan.

Kenapa seseorang memendamkan perasaan
  • Malu
  • Takut menjadi bebanan kepada orang lain
  • Terlalu peribadi untuk dibincang
  • Berpendapat diri sudah matang dan tahu bagaimana untuk mengatasinya
  • Bimbang akan reaksi orang lain
  • Berpendapat tiada siapa mahu mendengar dan memahami
  • Takut dianggap lemah jika tidak dapat menyelesaikan masalah sendiri
  • Memikirkan ianya hanya perkara kecil sahaja

Bagaimana mengendalikan perasaan anda
  • Ketahui perasaan anda
  • Luahkan perasaan anda
  • Dengar pendapat orang lain tentang perasaan anda
  • Kongsi perasaan anda dengan pasangan hidup, ahli keluarga, rakan, jiran, pemimpin agama, ahli kelab, doktor, kaunselor dan lain-lain

Kebaikan yang Diperolehi Apabila Anda Berkongsi Perasaan
  • Merasa lega
  • Mengurangkan tekanan
  • Anda mungkin dapat mencari penyelesaian kepada permasalahan anda
  • Anda akan menyedari orang lain juga mempunyai masalah
  • Masih ada orang yang mengasihi dan mengambil berat terhadap diri anda

Sumber: laman kesihatan



Saturday, January 08, 2011

Mutiara Kata 1

1. Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

2. Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.

3. Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

4. Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.

5. Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.

6. “Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.”

7. Orang berjaya tidak pernah putus asa. Sebaliknya orang yang mudah putus asa ialah orang yang tidak akan berjaya.

8. Insan yang berilmu akan menganggap dirinya kurang ilmu, manakala orang bodoh akan menganggap dirinya orang yang sangat pandai.

9. Padi yang semakin berisi akan semakin menunduk, manusia yang berhemah tinggi ialah orang yang sentiasa merendahkan diri.

10. Orang yang cemerlang bukanlah kerana dia tidak pernah mengalami kegagalan tetapi disebabkan dia dapat berdiri lebih teguh selepas kegagalan.

11. Orang yang cantik tetapi tidak berakhlak bagaikan bunga yang berwarna tetapi berbau busuk.


Mutiara Kata 2

1. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya – (Hamka) 

2. Yang meninggikan darjat seseorang ialah akal dan adabnya, bukan asal keturunannya – (Aristotle)

3. Adab dan sopan itu lebih penting daripada makan dan minum – (Aristotle) 

4. Mahkota adab dan sopan santun lebih tinggi nilainya daripada mahkota yang bertahtakan ratna dan mutu manikam – (Budiman) 

5. Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras – (Hamka) 

6. Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah tinggi darjatnya di dalam pergaulan hidup, dan bertambah naik tingkah laku dan akal budinya – (Hamka) 

7. Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang-orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya – (Hamka) 

8. Sifat utama pemimpin ialah beradab dan mulia hati – (Imam Al-Ghazali) 

10. Undang-undang adab dan budi pekerti membentuk kemerdekaan bekerja. Undang-undang akal membentuk kemerdekaan berfikir. Dengan jalan menambah kecerdasan akal, bertambah murnilah kemerdekaan berfikir – (Hamka) 

11. Di dalam medan hidup, ada beberapa undang-undang yang harus dijaga dan diperhatikan. Ada yang berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan keberesan akal dan yang berhubung dengan kemuliaan adab dan budi – (Hamka) 

12. Kata Hukama, ” Hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan” – (Hamka) 

13. Mengikut adab kesopanan, tetamu yang tidak menghormati diri dan tidak menghormati ahli rumah yang ditemui, bukanlah orang yang patut dihormati – (Hamka) 

14. Orang beradab pasti pandai menghormati keyakinan orang lain, walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu – (Hamka) 

15. Sesungguhnya orang yang termasuk orang yang baik-baik ialah orang yang paling baik akhlak dan adab sopannya – (Maksud hadis)

Timun

Timun sememangnya mempunyai pelbagai khasiat. Ia tergolong dalam kumpulan yang sama dengan labu. Luaran timun berwarna hijau agak gelap, manakala sebaik dihiris isi putih kehijauan terserlah. Terdapat dua jenis timun iaitu yang boleh dibuat acar dan untuk dihiris. Timun yang digunakan untuk dibuat acar kebiasaannya bersaiz lebih kecil.

Timun diketahui kaya dengan bahan yang boleh menyejukkan. Malah ketika cuaca panas sayuran itu amat bermanfaat untuk membantu melegakan mata yang tertekan akibat panas terik. Selain itu, timun juga menawarkan pelbagai manfaat lain yang berguna untuk menusia.

Nilai nutrisi bagi setiap 100 gram timun yang belum dikupas

Karbohidrat - 3.63 gm
Gula - 1.67 gm
Serat - 0.5 gm
Lemak - 0.11 gm
Protein - 0.65 gm
Thiamin (Vitamin B1) - 0.027 mg
Riboflavin (Vitamin B2) - 0.033 mg
Niacin (Vitamin B3) - 0.098 mg
Asid Pantotenik Acid (Vitamin B5) - 0.259 mg
Vitamin B6 - 0.040 mg
Folat (Vitamin B9) - 7 μg
Vitamin C - 2.8 mg
Kalsium - 16 mg
Besi - 0.28 mg
Magnesium - 13 mg
Fosforus - 24 mg
Potasium - 147 mg
Zink - 0.20 mg

 
* Timun yang disapu ke wajah boleh mengurangkan kepanasan dan radang pada kulit.

* Bahan diuretik, menyejuk dan membersih yang terdapat di dalam timun menjadikan sayuran tersebut baik untuk kulit.

* Timun yang segar boleh memberi kelegaan kepada masalah ulser, gastritis dan pedih ulu hati.

* Hiris timun mampu mengurangkan bengkak pada mata.

* Pengambilan timun setiap hari membantu mengawal ekzema, artritis dan juga gout.

* Timun juga bermanfaat kepada mereka yang mengalami masalah pada paru-paru, perut dan dada.

* Potasium di dalam timun menjadikannya sangat berguna untuk membantu mengurangkan masalah tekanan darah rendah.

* Timun mengandungi Erepsin - enzim yang membantu menghadamkan protein.

* Jus timun membantu menggalakkan pertumbuhan rambut terutamanya jika ditambah jus lobak merah, kubis dan bayam. Campuran jus timun dan lobak mereka juga bagus untuk masalah reumatik disebabkan lebihan asid urik di dalam badan.

* Kaya dengan mineral, timun boleh membantu menghalang masalah kuku.
 

Lambaian Kaabah 2008

Setiap peristiwa yang dilalui masih segar dalam ingatan..

Baru sampai di Jeddah, menunggu ketibaan bas ke Mekah
Hari pertama di Mekah. Suasana tawaf waktu tengah hari


Abah selesai tawaf..


Suasana di luar Masjidilharam... selesai solat subuh.

Di luar masjid Nabawi - di bawah kubah hijau.. di situlah Raudhah





Abah & mama sewaktu mabit di Muzdalifah









Tuesday, January 04, 2011

Kaduk



Selain pucuknya yang sering dibuat ulam dan daunnya sebagai penyedap masak lemak, khasiat lain yang boleh dimanfaatkan adalah merawat: 
1. Sembelit
2. Sakit gigi
3. Demam malaria
4. Lemah dan sakit dalam tulang

Langkah-langkah merawatnya:

1. Ambil sebatang pokok kaduk termasuklah bahagian akarnya.

2. Bersihkan keseluruhan pokok kaduk tadi.

3. Rebuslah pokok kaduk sehingga mendidih.

4. Bila dah mendidih, biarkan air rebusan tadi hingga suam.

5. Tuangkan air rebusan yang telah suam ke dalam gelas dan minumlah perlahan-lahan.


Selain 4 penyakit di atas, masalah cacing dalam perut, batuk dan panau pun boleh dirawati. Cuma caranya yang berbeza sikit. Sebab kali ini hanya diperlukan daun kaduk saja. Langkah-langkah merawat:

Cacing Dalam Perut

1. Ambil beberapa helai daun kaduk yang masih segar.
2. Ramas-ramaskan daun tersebut.
3. Kemudian, campurkan kesemua daun kaduk yang telah diramas dengan kira-kira sebaldi air.
4. Akhir sekali, siramkan air tersebut ke seluruh badan.

Batuk

1. Ambil beberapa helai daun kaduk dan bersihkannya.
2. Kisar daun kaduk tadi hingga halus dengan mencampurkan sedikit air.
3. Akhir sekali, sapukanlah pada bahagian leher.

Panau

1. Ambil beberapa helai daun kaduk.
2. Tumbukkan ia sampai lumat.
3. Kemudian, sapukanlah pada kawasan tubuh badan yang mengalami panau.


Sambung Nyawa


Kegunaan Dan Khasiat 

Daun Sambung Nyawa dapat mengurangkan kadar kolestrol dan menurunkan tekanan darah tinggi. Di Malaysia ia juga digunakan untuk merawat sembelit, kencing manis dan kanser. Ia juga digunakan untuk merawat masalah buah pinggang. Biasanya ia dimakan mentah sebagai ulam. Batang tanaman Sambung nyawa sering digunakan untuk meredakan demam.

Ia juga digunakan dalam penyembuhan penyakit ginjal, disentri, infeksi kerongkong. Di samping itu, ia boleh digunakan untuk menghentikan perdarahan, mengatasi ketidakseimbangan datang haid melancarkan fungsi ginjal, dan gigitan binatang berbisa. Umbinya untuk menghilangkan darah beku (haematom), pembengkakan, serta patah tulang.

Cara Penggunaan 


Untuk ubat yang diminum, rebus 7 hingga 12 helai daun segar, sementara untuk pemakaian luar, giling daun segar hingga lumat dan tempelkan ditempat yang sakit.


Hempedu Bumi


Selain disebut akar cerita, ada juga yang menyebutnya sebagai pokok cerita. Ia sejenis rumpai berdaun tunggal seperti daun inai berwarna hijau tua. Puntik bunganya seperti cili api sementara bunganya berwarna putih mempunyai tumpuk ungu dihujung kelopak. Mudah membiak di kawasan yang terdedah.

Nama saintifiknya Andrographis paniculata dari keluarga Acanthaceae dan ada juga yang menyebutkan sebagai ‘hempedu bumi’ kerana rasanya yang amat pahit jika diramas dengan tangan. Begitu juga jika dijadikan jus, pahitnya akan melekat beberapa lama pada lidah seperti pahitnya petawali (Tinospora tuberculata).

Antara khasiatnya yang paling mujarab ialah melegakan darah tinggi dan kencing manis. Caranya ialah dengan merebus daun, batang, akar serta bunganya dan airnya diminum oleh yang menderita sakit.

Kesan pahit dari rebusan itu agak lama pada lidah dan selepas pahitnya hilang lidah akan terasa kebas sedikit, namun itu hanyalah ciri herba ini. Untuk merawat kencing manis pula rebusannya hendaklah dicampur dengan pokok misai kucing.

Manakala bagi merawat demam, selesema dan gatal tekak pula, memadai dengan merendam beberapa helai daunnya yang segar ke dalam segelas air panas dan diminum perlahan-pahan selepas airnya suam. Bagaimanapun anda dinasihatkan agar jangan mengambilnya terlalu kerap.

Tumbuhan ini juga boleh dijadikan untuk merawat bisa gigitan serangga termasuk tabuan dan ular. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai daunnya dan dilumatkan, kemudian letakkan lumatan itu pada bahagian yang terkena gigitan.


Dukung Anak


Untuk menggunakannya adalah mudah. Kita hanya perlu mengambil  dukung anak  (kira-kira lima batang pokok) dan membersihkannya. Kemudian tumbuk pokok itu sampai hancur atau lumat. Masukkan ke dalam segelas air kosong dan terus minum. Oleh sebab  rasanya agak pahit, ia boleh dicampurkan dengan sirap, yogurt atau susu kambing. 

Berdasarkan kajian saintifik, tumbuhan ini selamat untuk digunakan dan tidak berbahaya.

Dukung Anak digunakan sebagai diuretik dan tonik selepas keguguran. Malah, ia turut digunakan sebagai penawar cirit-birit, masalah ginjal, gonorrhea dan sifilis. Manakala, jus atau ekstrak akar dan daun mudanya digunakan untuk menguatkan ginjal. 
 
Masalah ginjal: Air rebusan atau jus daun dan akar diminum

Batuk: Air rebusan daun muda diminum

Luka, lebam dan luka ulcers: Pupukan daun disapukan pada bahagian yang 
berkenaan 

******************************************************

Akar, daun, buah, jus dan keseluruhan tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan. Perubatan ayurveda ia digunakan sebagai penghilang dahaga, bronchitis, kusta, anemia, penyakit kelenjar kencing,anuria dan asma. Boleh juga digunakan untuk mengubat penyakit berak berdarah(dysentery) yang kronik (mengikut kaedah perubatan unani dari India). 

Buahnya digunakan untuk mengubati luka, kerengsaan, penyakit kudis buta (scabies) dan kurap. Akarnya pula (yang masih segar) adalah penawar yang berkesan untuk penyakit kuning (jaundice) terutamanya pada bayi yang baru lahir. 

Daun yang telah dilumatkan dan dicampurkan dengan sedikit garam dapur boleh merawat jangkitan kudis buta( scabies). Jika tidak dicampur garam ia boleh ditampal pada luka dan lebam. Boleh digunakan untuk merawat bisa gigitan ular. Tumbuhan ini juga boleh digunakan sebagai tuba (racun) ikan. 

Kaedah perubatan ayurveda banyak menggunakan tumbuhan ini sama ada dalam bentuk tumbuhan ini dikeringkan dan dijadikan serbuk atau terus menggunakan tumbuhan ini dalam bentuk tumbuhan segar.

Walaupun masih sukar untuk menentukan apakah kandungan dalam tumbuhan ini yang menyebabkan ia mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Terdapat kajian yang menunjukkan ia memberikan kesan positif untuk mengubati penyakit hepaptitis B. Dalam satu kajian, didapati 22 daripada 37, iaitu sebanyak 59% daripada pembawa virus hepatitis B yang dirawat dengan persediaan herba dari pada tumbuhan ini selama sebulan telah kehilangan antigen hepatitis B setelah diuji selepas 15 hingga 20 hari  rawatan selesai. Jika menggunakan rawatan biasa hanya 4% daripada pembawa akan kehilangan antigen untuk tempoh yang sama. 

Persediaan herba ini hendaklah di amalkan selama sebulan atau lebih untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Jika digunakan secara biasa, tiada kesan sampingan didapati setakat ini. Namun anda dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor sebelum memulakan rawatan. Walaupun ia membantu mengurangkan jumlah virus hepaptitis B yang dijumpai didalam darah, ia masih tidak dapat menghilangkan kesemuanya, jadi ia bukanlah penawar kepada penyakit ini, namun pengambilannya dapat mengurangkan dan mengawal pertumbuhan dan pertambahan virus hepatitis B. Kajian lanjut masih dijalankan oleh para saintis mengenai kegunaan dukung anak untuk merawat hepatitis B.

 

Monday, January 03, 2011

Muhammad Izzul Ikhwan (I)

28 Januari 2011, Ikhwan genap dua tahun. Dari 'baby' sampai sekarang pelbagai gaya apabila gambarnya dirakamkan...

Beberapa jam selepas dilahirkan

"Tapak kaki sebesar dua jari..."



















Sunday, January 02, 2011

Resdung

Semasa surf internet, mama terjumpa petua untuk mengatasi masalah resdung yang selalu dihadapi oleh kita:
 
Petua 1
Petua Resdung yang paling mudah dan berkesan ialah dengan mengamalkan menyedut air ke dalam hidung (seperti sebelum kita ber wuduk).Kemudian picit sebelah hidung dan hembuskan sekuat hati. Buatlah berulang-ulang kali sehingga selesai kedua-duanya. Selepas itu basuhlah muka dengan bersih. Lakukan ini setiap kali setelah sampai ke satu-satu destinasi, baik ke pejabat,bersantai, beriadah atau pulang ke rumah malah ke mana saja. Kesannya sungguh menakjubkan.

Petua 2 
Setengah orang baik lelaki mahupun wanita ada antaranya menghadapi masalah bila bangun pagi selalu bersin yang sukar untuk diberhentikan. Maksudnya bersin tidak pernah berlaku sekali dua sahaja, sebaliknya beberapa kali hingga menimbulkan masalah pada anda. Untuk mengatasi masalah ini terlalu mudah iaitu dengan memasukkan air dingin (sejuk) kedalam hidung anda. Kemudian anda tumpahkan keluar semula. Ulangi beberapa kali nescaya bersin anda akan hilang.

Petua 3 
Ambil isi terung kemal dan amalkan memakannya atau ambil daun kacang kayu kemudian jemur sehingga kering dan dibuat hisap seperti rokok.Boleh juga amalkan mencium bunga daun bawang merah sentiasa.

Petua 4
Hiris tiga biji bawang merah. Ambil dua helai daun sirih dan secubit biji sawi. Masukkan ke dalam bekas bersama air mendidih. Kemudian wapkan ke muka anda. Amalkan selalu. 

Petua 5
Resdung di muka - Wapkan wajah dengan air rebusan jintan hitam.

Petua 6
Akar bunga melur boleh di jadikan penawar resdung.Cabut Pokok ni dan keringkan akarnya. Lepas tu bakar dan hidu akarnya,bagi pesakit resdung akan berasa pedas pada hidung masa hidu akar pokok ni. Mata juga rasa pedih dalam masa yang sama. Amalkan beberapa kali dan boleh lihat kesannya lepas tu. Selain akar melur pokok bunga raya juga ada khasiat yang sama.

Petua 7
Daun pisang kelat amat berguna bagi memulihkan penyakit resdung. Daun pisang kelat ini di katakan mempunyai khasiat yang boleh membunuh kuman serta memulihkan rongga pernafasan. Cara memproses untuk di jadikan ubat adalah dengan mengeringkan daun ini selama beberapa hari sebelum di jadikan rokok daun atau di panggil rokok resdung. Asap yang di sedut dari rokok itu masuk ke saluran pernafasan bagi membasmi segala kuman yang berada di dalam hidung. Khasiat asap daun pisang kelat ini bukan saja membunuh kuman malah ia juga akan mengering dan memulihkan lapisan dalam hidung yang di dapati rasa gatal atau berair. Walau baunya agak keras tetapi mujarab untuk penyakit jenis ini. Manakala mereka yang tidak merokok pula terdapat cara kedua, Bakarkan daun pisang kelat itu ke dalam bekas sambil menutupnya. Apabila api yang membakar daun itu mulai padam hendaklah membuka penutupnya dan anda akan saksikan asap-asap daun itu berkepul-kepul keluar. Hendaklah menyedut asap-asap tersebut beberapa kali sehingga anda berasa lega.

Sumber: Lubuk Petua Warisan

Saturday, January 01, 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Selamat tinggal 2010... Selamat datang 2011. Semoga tahun 2011 akan menambahkan lagi azamku untuk sentiasa mengingati Allah..

Hamba bersyukur kepadaMu ya Allah.. kerana masih diberi peluang untuk menghirup udaraMu... masih diberi nikmat untuk bersama-sama suami dan anak-anakku... masih dikurniakan kudrat untuk terus menjalani siang dan malamMu...

Ya Allah... Sempurnakanlah imanku,  lindungilah aku daripada godaan syaitan, hindarilah aku daripada maksiat, bersihkanlah hatiku, sucikanlah jiwaku, tenangkanlah fikiranku, lapangkanlah dadaku... 

Ya Allah, lindungi dan peliharalah keluargaku... berkati dan rahmatilah kami... berilah kami kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...