Tuesday, May 31, 2011

Buruknya Padah Buruk Sangka

Buruk sangka adalah satu daripada penyakit hati yang amat kronik. Ia bukan sahaja menjarah dengan parah hati dan jiwa pengidapnya, tetapi turut memusnahkan individu lain sebagai mangsanya.

Buruk sangka juga tidak lahir tersendiri, malah ia lahir bersama dengan sifat-sifat mazmumah yang lain sebagai pakej pelengkap, seperti hasad, dengki, marah, sombong, bongkak, dendam, zalim dan sebagainya.

Apabila sifat-sifat tersebut meneraju dan memacu kehidupan seseorang insan, ia akan menjadi manusia yang sentiasa resah, gelisah dan tidak tenteram, kerana sentiasa sibuk mencari keaiban dan kelemahan orang lain, tidak punya masa untuk mengingati Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah, dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (ar-Rad: 28)
Buruk sangka yang dimaksudkan di sini ialah buruk sangka yang tidak baik. Ia mengheret sifat-sifat mazmumah yang lain bersarang di hati, yang akan mempengaruhi anggota-anggota badan yang lain supaya mengikut kehendaknya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“…Ketahuilah bahawa di dalam anggota badan ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah anggota seluruhnya, dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Buruk sangka dibahagikan kepada dua jenis: 

1. Buruk sangka yang bertujuan baik, seperti untuk menyedar dan memperbaiki seseorang yang dikatakan melakukan kejahatan.

2.  Buruk sangka yang bertujuan jahat demi untuk menjatuhkan maruah kedudukan seseorang.

Walau apapun tujuannya, buruk sangka tetap memberi impak yang sangat negatif. jarang ada manusia yang terselamat daripada terkena bahana prasangka. Dengan sebab itulah, Islam sangat melarang daripada berprasangka.

Dalam Sirah An-Nabawi, kita berdepan dengan satu peristiwa yang menimpa rasulullah s.a.w dan keluarga baginda, iaitu kisah ‘Hadis Ifqi’ (berita dusta) yang cuba disebarluaskan oleh musuh-musuh Islam; yang menjadi dalang utamanya ialah si munafik Abdullah bin Abi Salul.

Ceritanya bermula pada saat kepulangan tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w dari suatu medan perang. Saidatina Aishah r.a meninggalkan tempat duduknya di atas unta (pondok kecil yang diletak di atas kenderaan seperti pada zaman raja dahulu kala) untuk ‘menunaikan hajat’. Apabila beliau kembali, beliau mendapati rantai lehernya telah hilang.

Aisyah berpatah balik mencari rantai itu. Sesampainya di tempat tentera, didapatinya tentera sudah berangkat meninggalkan tempat itu. Mereka yang ditugaskan mengawasi keselamatan Aisyah tidak sedar ketiadaan Aisyah dalam tempat duduk itu, mereka terus mengangkat pondok kecil itu ke atas belakang unta dengan sangkaan Aisyah berada di dalamnya, kerana Aisyah berbadan kecil dan ringan.

Aisyah terus menunggu di situ dengan harapan mereka akan menyedari kehilangannya. Seperti biasa Rasulullah menempatkan seorang petugas terakhir di belakang pasukan tenteranya sebagai pengawal, iaitu Safwan bin al-Mukthal.

Pada ketika Safwan membuat pemeriksaan terakhir, beliau ternampak satu bayang-bayang bergerak. Apabila diamat-amatinya, ternyata itu adalah Aisyah. Lalu beliau merendahkan untanya dan menyuruh Aisyah menaiki unta itu dan beliau berjalan di belakang tanpa bercakap sepatah pun dengan Aisyah.

Mereka sampai di Madinah ketika waktu Zuhur. Semua orang menyaksikan ketibaan mereka berdua. Seluruh kota Madinah gempar dan heboh. Cerita sumbang dan palsu diuar-uarkan oleh musuh-musuh Islam.

Tentu dapat kita bayangkan betapa keadaan Rasulullah s.a.w ketika itu dalam menghadapi peristiwa tersebut. Apa yang terdaya dilakukan oleh Aisyah selain menangis, sedangkan dia sedar dirinya suci dan bersih. Keadaan berlangsung selama sebulan.

Aisyah bersabar menantikan ketentuan Allah s.w.t terhadap dirinya. Ia teringat akan perihal kisah Nabi Yaakob a.s yang katanya:

“…Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan kepada Allah jualah dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu.”
Akhirnya, tiba juga penentuan Allah s.w.t. Mana mungkin Allah membiarkan Rasul-Nya dan kekasih-Nya tertekan perasaan begitu sahaja. Dengan itu turunlah firman Allah s.w.t yang menyatakan kesucian Aisyah:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa datangnya berita yang amat dusta itu, ialah segolongan dari kalangan kamu, janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyebarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang berat (di dunia dan diakhirat kelak).”

Peristiwa tersebut memberi pengajaran yang sangat besar bagi setiap orang yang cepat bersangka buruk daripada mengutamakan sangka baik.

Buruk sangka yang sedemikian itu adalah wadah kehancuran, mengundang segala macam keruntuhan. Jiwa mangsanya hancur luluh, perasaan amat tertekan, rumah tangga kian rapuh, kedamaian akan musnah, masyarakat menjadi porak-peranda. Kesemuanya itu adalah gara-gara perangai buruk sangka.

Justeru, Islam menyeru umatnya agar mendahulukan bersangka baik daripada cepat bersangka buruk.

Sangka buruk boleh terjadi dengan berbagai-bagai sebab, antaranya:

1. Godaan dan tipu helah syaitan atau iblis:
Buruk sangka adalah jalan terbaik bagi syaitan merangsang manusia untuk bergaduh, mengumpat, melempar tohmahan, membuat pakatan jahat, berpecah belah dan sebagainya.

2. Kelemahan jiwa:
Jiwa yang lemah akan mendorong seseorang mudah terikut dengan pemikiran yang negatif dan buruk terhadap orang lain.

3. Perasaan sombong dan bongkak:
Perasaan ini menyebabkan seseorang itu merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Ia merasa dengki kalau ada orang lain mendahului dalam mengecapi sesuatu kejayaan atau membuat sesuatu kebaikan ataupun mendengar orang memuji musuhnya di hadapannya.

4. Keburukan batinnya:
Seseorang yang biasa membuat tipu helah dan penipuan akan merasakan orang lain juga sama sepertinya.

Tiada penawar mahupun yang berasaskan sainstifik atau tradisional yang mampu mengubati dan menyembuhkan penyakit buruk sangka ini. Namun para ulama dan cendiakawan Islam ada menyarankan beberapa cara. Antaranya:

1. Buruk sangka terhadap diri sendiri, tetapi jangan mencari kekurangan orang lain, tetapi bergaullah dengan orang yang diburuk sangka terhadapnya itu dengan lebih rapat dan berdoalah untuk kebaikan baginya.

2.  Bermuhasabah diri setiap hari, jadikanlah diri kita seorang yang dapat menguasai was-was, bukan orang yang dikuasai was-was.

4.  Perbaikilah diri kita dan bersihkanlah ia dari sifat buruk, kerana disebalik buruk sangka akan mengundang sifat-sifat keji yang lain.

5. Ingatlah selalu bahawa mahabbah, mawaddah dan bersikap toleransi itu adalah nikmat yang sangat besar. Jangan musnahkan nikmat itu dengan sifat buruk sangka.

6. Ingatlah selalu, bahawa buruk sangka boleh merosakkan diri kita. Kita akan kehilangan rakan, kekasih, saudara-mara, malah juga isteri. Kita akan kehilangan ramai khalik dan disisih oleh masyarakat.

Susunan MUHAMAD SALEH
 
 

Wednesday, May 18, 2011

Ya Allah, Sudilah Pandang Kami....

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan namaMu Ya Allah Yang Sentiasa Mengasihi hamba-hambaMu
Ingin aku berbicara denganMu di setiap masa yang aku ada dan di setiap tempat aku berada
Ingin aku meluahkan segala apa yang terpendam dalam hati ini
Walau aku tahu Engkau sangat-sangat memahami dan mengetahui
Tanpa aku bicarakannya kepadaMu
Malah Engkau lebih tahu segalanya tentang aku daripada diriku sendiri
Kerana Engkau yg memiliki sekeping hati ini
Kerana Engkau lebih dekat denganku daripada urat leherku sendiri


Ya Rabbi, sudilah pandang aku
Ya Rabbi, izinkan aku menghadapMu berulang kali sehingga ke akhir hayatku.
Aku tahu..
Aku sering menghadapMu dengan wajah yang kelam, tidak berseri
Aku sering berhadapan denganMu tika jiwaku berkeluh kesah
Aku mencariMu hanya di waktu susah dan derita.
Di saat senang dan sibuk dengan dunia, aku melupakanMu.
Aku lupa bahawa hidup ini hanya untukMu
Aku leka bahawa dunia ini hanya sementara untuk aku mencari bekal sebanyaknya


Namun, di saat ini aku hadir untuk menghadapMu
Bersama dosa dan noda yang tak terhitung banyaknya
Disebabkan kelalaianku menurut hawa nafsu
Dan tertipu dengan dunia dan syaitan
Allah, pandanglah aku dengan kasih sayangMu
Pandanglah aku dengan keampunanMu
Aku sangat mengharapkan kasih sayang dan redhaMu
Kerana aku benar-benar menagih syurgaMu dan aku takut nerakaMu
Tapi, layakkah aku Ya Allah?


Ya Rabbi, seandainya di saat ini Engkau menjemputku pulang,
Bagaimanakah nantinya tika berhadapan denganMu?
Sudikah Kau menerima hamba-Mu yang hina ini?
Bagaimanakah keadaanku waktu itu??
Hitamkah wajahku bila berhadapan denganMu?
Berseri dengan sinar cahayakah wajah ini?
Berlarikah aku menujuMu kerana rindu untuk menemuiMu?
Atau menggigil ketakutan kerana takut dan malu denganMu?
Allah, aku bimbang..
Aku gusar dan takut Ya Allah..
Apabila memikirkan saat itu
Kerana banyaknya dosa aku terhadapMu.
Allah, sukarnya untuk aku meredahi cabaran dunia ini
Ingin ku buang jauh duniaku yang melalaikan
Tapi ia selalu menarik-narik hatiku untuk tetap mengulangi kesilapan terhadapMu
Kadang-kadang aku terlupa, kadang-kadang aku sengaja

Aku takut padaMu Allah tapi kenapa aku seringkali mengulangi dosa-dosa terhadapMu?
Aku sering berjanji di depanMu untuk menyerahkan hidup matiku hanya untukMu
Namun sering aku memungkiri janji-janjiku itu tanpa rasa berdosa
Aku pernah menangis keranaMu kerana takutkan azabMu
Kemudian aku ketawa semula di saat aku lupa tentangMu
Semudah itu Ya Allah aku sebagai hamba yg sebenarnya tidak layak melakukan sebegitu
Tapi Engkau Ya Allah, tetap memberi peluang untuk aku kembali padaMu
Engkau sentiasa bersedia mengampuniku...

Aku takut Ya Allah, seandainya waktu aku tiba untuk kembali padaMu
Aku dalam keadaan tidak bersedia dan penuh dengan hitam noda
Apakah yang mampu aku persembahkan di hadapanMu kelak?
Mampukah aku memulangkan segala pinjaman yang Engkau beri kepadaku dalam keadaan yg terbaik?
Allah, aku mohon dengan sangat..
Sucikanlah hati aku dengan maghfirahMu
Agar tersenyum aku pulang mengadapMu
Allah, terimalah taubatku
Agar bercahaya wajahku dengan nuurMu bertemu denganMu
Allah, pimpinlah aku dengan hidayahMu
Agar mudah jalanku ke JannahMu...


Tuhan, pegang eratlah hati ini agar sentiasa aku rasa dekat denganMu
Aku harap Kau terima amalku untuk aku persembahkan di hadapanMu kelak
Ya Allah, dengarkanlah rintihan & permohonan hatiku ini
Hadiahkanlah cahayaMu kepadku sehingga saat aku dipanggil pulang olehMu
Amiin Ya Rabb..

Aku mohon dengan sangat..Perkenankanlah.

:: Ya Allah, maafkanlah bila hati tidak sempurna mencintaiMu


Sumber: CahayaMukmin



Tuesday, May 03, 2011

Cuti Hari Buruh

2 Mei 2011, hari Isnin, merupakan hari cuti gantian kerana 1 Mei jatuh pada hari Ahad. Mama, abah dan anak cucu mama saja-saja jalan di Viva Home yang baru saja dibuka. Semuanya kelengkapan rumah... ala2 IKEA.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...